Ahad, 10 Oktober 2010

GPMS mahu k'jaan kaji semula makanan tambahan

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula pelaksanaan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada pelajar miskin bagi mengelakkan ia menjadi satu pembaziran.

Pengerusinya Zuraidi Rahim berkata daripada maklumat yang diperolehinya, pelaksanaan RMT ketika ini adalah makanan disediakan pada pukul 7.30 pagi tetapi ramai yang tidak mendapat manfaat daripada program itu kerana ketika itu adalah waktu persekolahan.

Katanya apabila ramai pelajar miskin tidak dapat menikmati RMT, ia merupakan satu pembaziran dan tidak menepati hasrat kerajaan untuk membolehkan pelajar-pelajar miskin mendapat makanan yang berkhasiat.

"Bila pelajar itu datang ke sekolah, mereka tergesa-gesa...masa hanya tinggal 10 atau 15 minit sebelum masuk ke kelas. Mungkin kementerian patut kaji untuk penyediaan makanan itu dianjakkan ke waktu rehat supaya ia tidak menjadi satu pembaziran duit kerajaan," katanya kepada pemberita di Pendang.

Katanya kerajaan sememangnya telah banyak memberi bantuan kepada pelajar-pelajar miskin tetapi tanpa pelaksanaan yang betul ia hanya menjadi satu pembaziran.

"Kami akan membuat memorandum secara bertulis kepada Kementerian Pelajaran mengenai perkara itu...menyatakan penyediaan makanan pukul 7.30 pagi tak sesuai.

Pelajar boleh tunggu waktu rehat untuk makan. Kalau pelajar miskin tak bawa duit tunggulah sampai ke petang (balik rumah) baru boleh makan," katanya.

Mengulas mengenai cadangan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Mohd Shafie Apdal untuk menyalurkan bantuan kira-kira RM100,000 kepada setiap Umno Bahagian di negeri ini bagi membantu sekolah-sekolah yang memerlukan, Zuraidi berkata beliau berharap peruntukan itu sampai ke golongan sasar dan tidak disalahgunakan pihak-pihak tertentu.

"Jangan hanya pilih orang "kita". Pilihlah orang yang sepatutnya. GPMS Kedah juga tiada masalah untuk membantu. Bukan hanya Umno, kalau PAS atau parti lain mahu kita bantu pun kita akan bantu jika demi kepentingan para pelajar.

"Kita tak nak para pelajar miskin diabaikan kerana tidak mendapat bantuan yang sepatutnya diberikan," katanya.

Sementara itu, Zuraidi berkata sumbangan peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor sebanyak RM25,000 yang pada asalnya untuk membaiki lima buah rumah keluarga miskin di negeri, akan digunakan untuk membaiki tiga lagi rumah.

"Asalnya peruntukan itu untuk lima buah rumah, masing-masing dua di Kuala Ketil dan Kuala Kedah serta satu di Pendang. Tetapi ada lebihan, kita akan baiki tiga lagi rumah iaitu di Padang Terap, Pokok Sena dan Baling. Kita ada senarai 250 lagi rumah yang perlu dibantu. Kita akan cari lagi peruntukan," katanya.


Dipetik dari : Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan